Tasawuf Sholawat

Tasawuf Sholawat by Taratak Sufi

Seorang Sufi itu bukanlah dia yang berpakaian compang-camping tanpa makna

Baginda Nabi ﷺ tersenyum manis saat dunia membaling batu ke arahnya, namun engkau merintih pedih hanya kerana Tuhan sedikit lewat memberikan apa yang kau mahu. Lihatlah semula pada cermin hatimu; adakah yang kau bawa itu cahaya MUHAMMAD, atau hanya bayang-bayang nafsu yang kau namakan sebagai cinta?

Wahai pengembara yang sedang lelah di padang gundah, yang kakinya tersadung pada batu-batu resah. Dengarkanlah rintihan pena yang memujuk jiwa, yang membawa khabar tentang cinta dan rahsia. Sesungguhnya, jalan Sufi itu bukanlah lorong kesedihan yang gelap gulita, melainkan ia adalah taman kebahagiaan yang dipenuhi cahaya ruhani yang nyata. Ia adalah persinggahan bagi ruh yang merindui ketenangan, dan pelabuhan bagi hati yang dicarik oleh gelombang kebimbangan.

Duhai saudaraku, ketahuilah bahawa seorang Sufi itu bukanlah dia yang berpakaian compang-camping tanpa makna, tetapi dia yang hatinya telah rapi dengan hiasan takwa. Mereka adalah manusia yang paling bercahaya wajahnya, dan yang paling teguh jiwanya dalam menghadapi segala pancaroba dunia. Kerana apa? Kerana mereka tidak lagi melihat kepada makhluk yang fana, melainkan sentiasa merasai kehadiran Tuhan yang Maha Esa. Di dalam setiap hembusan nafas, ada sebutan nama-Nya; dan di dalam setiap detak jantung, ada getaran rindu pada-Nya.

··················

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *